30 SEP 2024 | DASAR PERUBAHAN IKLIM NEGARA 2.0 LEBIH PRAKTIKAL UNTUK LAKSANA PERALIHAN NEGARA KE ARAH EKONOMI RENDAH KARBON
Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) telah diluncurkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini. Ia diadakan bersempena Forum Perubahan Iklim 2024: Menuju ke Persidangan ke-29 Negara Ahli Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC-COP29).
DPIN 2.0 lebih bersifat praktikal untuk melaksanakan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon. Dari sudut pembangunan dasar, Dokumen DPIN 2.0 melengkapi dokumen Pelan Hala Tuju dan Tindakan Nationally Determined Contributions (NDC Roadmap and Action Plan – NDC RAP) dan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long-Term Low Emission Development Strategies - LT-LEDS) yang telah dibangunkan bagi mencapai sasaran NDC pada tahun 2030 dan aspirasi pelepasan sifar bersih negara pada tahun 2050.
Untuk memacu adaptasi perubahan iklim, DPIN 2.0 ini juga mengambil kira pembangunan Malaysia’s National Adaptation Plan (MyNAP). Dari sudut regulatori, DPIN 2.0 juga merupakan asas kepada pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijangka siap pada tahun 2025.
Matlamat utama DPIN 2.0 adalah untuk negara menuju ke arah peralihan ekonomi rendah karbon dan pembangunan berdaya tahan iklim bagi memenuhi komitmen dan aspirasi pembangunan mampan kebangsaan dan antarabangsa. DPIN 2.0 telah digubal mengikut kerangka pembangunan hala tuju negara sedia ada. Ia melengkapi dasar-dasar sektoral yang turut menjadikan pembangunan mampan (sustainable development) sebagai sebahagian inti pati utama.
Oleh yang demikian, DPIN 2.0 lebih bersifat praktikal dan komprehensif dengan mengambil kira isu-isu domestik dan antarabangsa yang terkini.
DPIN 2.0 merupakan penambahbaikan yang dibuat daripada DPIN 1.0 yang diterbitkan pada tahun 2009 dan menjadi asas serta panduan utama dalam merangka tindakan perubahan iklim selain pelaksanaan obligasi perubahan iklim negara di bawah UNFCCC. Secara amnya, DPIN 1.0 bertujuan untuk mengarusperdanakan perubahan iklim di dalam dasar pembangunan negara.
Kementerian berharap DPIN 2.0 ini dapat memberikan hala tuju yang jelas kepada pemegang taruh bagi setiap lapisan masyarakat dalam memacu agenda perubahan iklim negara ke arah mencapai aspirasi pelepasan GHG sifar bersih pada tahun 2050 dan pembangunan berdaya tahan iklim. Kementerian selaku focal point kepada perkara-perkara berkaitan perubahan iklim akan memainkan peranan utama dalam memastikan pelaksanaan tindakan yang digariskan di bawah DPIN 2.0 dapat dilaksanakan secara berkesan.
Forum Perubahan Iklim 2024 dianjurkan oleh Kementerian bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bertujuan bagi membincangkan isu-isu berkaitan perubahan iklim yang akan dirundingkan di UNFCCC-COP29, Baku, Azerbaijan pada 11 hingga 22 November 2024. Forum ini dihadiri oleh 250 orang yang terdiri daripada wakil kementerian, kerajaan negeri, sektor swasta, badan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan. Duta Brazil dan Duta Republik Azerbaijan ke Malaysia turut terlibat dalam sesi perbincangan panel semasa forum ini berlangsung.
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM (NRES)